Friday 30 December 2011

Penghijrahan Artis Ke Mardhatillah


Kebelakangan ini kita dapat lihat sendiri semakin ramai golongan artis yang telah daripada cinta kepada seni muzik kepada cinta kepada sang pencipta alam. Perubahan ini telah menarik minat saya kerana bukan senang untuk mengubah prinsip hidup dan minat serta kecenderungan kepada tikar sembahyang ini apatah lagi berada dalam kemuncak kerjaya.

Apa yang menarik minat saya adalah bagaimana proses transformasi ini berlaku. Berlainan pula situasi digambarkan oleh peminat dan golongan pemerhati yang kadang kala menjadikan apa yang berlaku ini sebagai satu bentuk inspirasi. Bagi saya sendiri, saya menjadikan penghijrahan golongan ini ini sebagai modus operandi dalam penyampaian ceramah, motivasi dan usrah yang saya sertai. Betapa besar keangungan Allah SWT dan pemilik hidayah ini.


Antara artis yang saya minati adalah Sham Kamikaze. Bila mendengar berita mengenai penghijrahan beliau, saya semakin bertambah minat kepadanya (cukup sekadar minat tatkala beliau memetik gitar). Teringat kawan-kawan ‘rock kapak’ yang begitu setia menjadi peminat beliau, sekali dengan fesyen-fesyen diikutnya, kini melopong dan terkejut, malah menganggap perubahan yang berlaku sebagai satu yang mengemparkan. Malah boleh dikatakan seminggu selepas perubahan ini mereka asyik sembang perkara ini. Saya secara serius dalam berseloroh mula bertanya kawan-kawan, “kamu bila lagi?”. hanya reaksi senyuman yang diberikan. Hidayah Allah pasti datang kepada mereka. InsyaAllah.

Sham Kamikaze yang meletakkan jawatan sebagai pensyarah muzik disalah sebuah akademi muzik secara mengejut itu juga tidak pernah merasa menyesal dengan perletakkan jawatan itu, malahan menyatakan apa yang lebih penting kini adalah ketenangan. Pastinya orang pertama yang gembira adalah isteri dan ibunya sendiri yang sering mengingatkan beliau supaya tidak meninggalkan solat. Tidak kisahlah bagaimana proses beliau dari masjid ke masjid sehingga utara dan dapat pula bersalaman dengan Sheikh Saad Ghamidi, itu bukanlah persoalan, tapi yang menjadi isu perubahan adalah kesediaan dan kesungguhan beliau yang ternyata bersungguh-sungguh kembali kepada ‘Taariq al-Jihad’ dan ‘Tazkiyyah an-Nafs’.

Bila melihat perubahan ini, diri ini bertanya jika seorang berhijrah daripada tidak menjaga solat kepada menjaga solat, bagaimana pula dengan orang yang telah sedia menjaga solat, apakah perubahan yang mereka perlu lakukan? Perubahan yang perlu dilakukan ialah perlulah solat diawal waktu dan lebih konsisten untuk bersolat di mana tempat diazankan kerana itu lebih afdhal. Ramai dikalangan orang-orang yang solat tetapi tidak menjaga solat mereka, malah sehingga qada’ solat tersebut sewenang-wenangnya. Ini bukanlah satu perkara yang baik dan harus dipandang secara serius oleh semua pihak yang ingin mendapatkan Mardhatillah.


Ambillah semangat orang yang telah berubah seperti Sham Kamikaze yang dilihat kini telah benar-benar berhijrah. Begitu juga untuk seluruh umat Islam, marilah kita bersama-sama berhijrah dengan mengamalkan Islam dengan sebaik-baiknya, bukan sekadar Islam pada nama tetapi bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Semoga lebih ramai artis akan berhijrah dan akhirnya akan membentuk satu ‘Bi’ah Islamiyyah’ dalam industri muzik tanah air.

p/s: kali ini menulis dengan lebih formal sikit..hehe, apapun saya suka lagu Sham Kamikaze dalam versi Lau Kana Bainana..;)

No comments:

Post a Comment