Sunday 8 January 2012

Matlamat Sukarelawan Al-Falah dan Kejayaan Perlaksanaan Objektif


Sukarelawan Al-Falah, Yadim ialah sebuah pasukan beruniform yang berorientasikan kebajikan, keagamaan, disiplin dan kesedaran kepada perjuangan untuk agama, bangsa dan negara. Anggotanya terdiri daripada pelbagai peringkat masyarakat yang berumur 15 tahun ke atas. Demi meningkatkan daya kepimpinan, kemahiran, kecerdasan, daya tahan fizikal dan mental serta kefahaman mengenai ketamadunan Islam, para anggotanya diberi latihan dan galakkan berdedikasi dan sentiasa bersiap sedia untuk memberi khidmat kepada agama dan kemanusiaan. Para peserta diberikan motivasi dan galakan supaya menjalankan kerja-kerja kebajikan dari semasa ke semasa. Dari segi kesedaran perjuangan bangsa, mereka dilatih dengan kesedaran dan kemahiran untuk membina jatidiri sebagai khairu ummah.

Objektif Sukarelawan Al-Falah ialah bermatlamatkan membina generasi yang berpegang teguh kepada agama, berdisiplin dan bertanggungjawab, bergiat dalam lapangan dalam memberikan faedah kepada masyarakat, menjadi pemangkin dalam pembangunan Negara kearah mencapat matlamat 2020, bergiat dalam lapangan ilmu pengetahuan dan memperjuang dan memartabatkan bangsa.


Pada Noverber yang lalu, sukarelawan Al-Falah yang juga terdiri daripada pelajar-pelajar Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Tahun Tiga, Fakulti Pengajian Islam telah turun kelapangan iaitu di Kampung Kuala Betis, Gua Musang selama 8 hari untuk melakukan aktiviti sukarelawan. Antara lain tujuan adalah untuk mengkaji aktiviti dan program yang dilaksanakan oleh sukarelawan dan seterusnya menganalisis keberkesanan aktiviti yang dilaksanakan oleh sukarelawan Al-Falah.

Dalam analisis yang telah dibuat menunjukkan beberapa persoalan dan keputusan hasil daripada soal selidik yang telah dilaksanakan. Antaranya ialah Respondan bersetuju dengan keberkesanan program kursus sukarelawan dakwah yang dijalankan iaitu sebanyak 91.67 peratus. Seramai 42 orang respondan bersetuju dengan program sukarelawan meningkatkan pengetahuan dalam aspek kepimpinan sukarelawan. Ini kerana dengan adanya program-program yang dilaksanakan oleh sukarelawan adalah bersifat ‘soft skill’ dan sentiasa memerlukan kepada interaksi dua hala. Kebanyakkan daripada sukarelawan adalah mereka yang aktif dalam berpersatuan dan biasa dengan program-program yang dianjurkan oleh mereka sendiri. Manakala seorang tidak bersetuju kerana tidak yakin bahawa program sukarelawan mampu mendatangkan manfaat apa-apa kerana tidak pernah menyertai program-program yang dilaksanakan oleh Universiti.


Respondan juga bersetuju dengan program ziarah akan meningkatkan keyakinan responden ketika berhadapan dengan masyarakat iaitu sebanyak 98.33 peratus. Majoriti respondan bersetuju dengan program ziarah yang dilaksanakan mampu meningkatkan keyakinan responden ketika berhadapan dengan masyarakat. Respondan yang melibatkan diri dalam sukarelawan ini mempunyai minat yang tinggi untuk menimba ilmu. Mereka lebih suka program yang bersifat interaksi kerana membolehkan mereka bertukar-tukar pendapat apatah lagi kebudayaan yang berbeza. Manakala terdapat segelintir yang berpendapat bahawa ziarah tidak memberikan apa-apa kerana mereka tidak tahu peranan ziarah yang boleh meningkatkan keyakinan respondan dalam berhadapan dengan masyarakat.

Responden secara umum bersetuju dengan pernyataan yang diajukan oleh penyelidik tentang aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kampung dapat memupuk semangat sukarela sebanyak 68.33 peratus. Peratus responden yang bersetuju  kerana sikap bekerjasama penduduk kampung dapat  melahirkan semangat kesukarelawanan pada diri responden. Selain itu  ia juga dapat meringankan beban antara satu sama lain. Peratus responden yang tidak pasti pula kerana tidak mengambil berat tentang sikap kerjasama dan semangat kerja berpasukan. Peratus tidak setuju sedikit kerana responden tidak menyertai aktiviti gotong-royong yang di jalankan.

Berdasarkan kepada kajian terhadap respondan berkaitan keberkesanan dan kejayaan cita-cita dalam penubuhan Sukarelawan Al-Falah oleh Yadim, jelas menunjukkan bahawa penglibatan Mahasiswa terutama dalam aktiviti yang melibatkan sukarelawan menampakkan keberhasilan. Sukarelawan tampak lebih berkeyakinan dilapangan dan ini sejajar dengan matlamat penubuhan Al-Falah sejajar dengan keperluan untuk membentuk khairu ummah.

p/s: Sukarelawan Al-Falah sentiasa bersedia dalam misi membangun masyarakat kearah Malaysia Al-Munawwarah..Tazkir!!

Friday 6 January 2012

Kepentingan Dakwah Masakini


Sahsiah atau secara umumnya adalah akhlak adalah definasi kepada persenolia yang mana secara ringkasnya dapat dibahagikan kepada dua iaitu akhlak terpuji dan akhlak yang tercela. Antara sifat-sifat akhlak terpuji dalam konteks dakwah ialah taubat, takut kepada Allah SWT, sabra, tawakal dan sifat-sifat mahmudah yang lain. Manakala sifat-sifat akhlak tercela yang perlu dihindarkan adalah seperti marah, tamak, bercakap yang sia-sia, cinta kepada dunia dan sifat-sifat mazmumah yang lain.

Seseorang yang berjaya menahan nafsunya sebenarnya adalah orang yang mempunyai kekuatan dalam dirinya. Rasulullah SAW pernah menasihati sahabatnya agar tidak cepat marah (Hadis Riwayat Bukhari). Seseorang Muslim yang sebenar tidaklah marah tetapi mudah redha dengan ketentuan Allah. Pada hari ini misalannya, soal cabar mencabar berlaku dalam politik di Malaysia, perkara yang terbaik yang perlu dilakukan dalam memahami konteks sahsiah ini adalah perlu rasional dan tidak mudah melenting. Ini kerana seseorang yang marah tidak akan dapat membantu dalam membuat keputusan yang jitu.


Kebersihan jiwa boleh mendorong seseorang manusia menghambakan diri kepada Allah dengan ikhlas, beribadat, mengerjakan solat, berpuasa, dan sebagainya. Individu muslim hendaklah memelihara jiwanya daripada sifat dendam dan dengki. Kebersihan jiwa adalah satu ciri peribadi muslim yang mendatangkan kebaikkan pada dirinya di dunia dan di akhirat. Seseorang muslim hatinya tidak akan terikat dalam melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan kerosakkan pada dirinya sendiri. Walaubagaimanapun, Rasulullah SAW melarang umatnya melakukan ibadat sehingga memudaratkan kesihatan, sebaliknya Rasulullah SAW menyeru manusia supaya beristiqamah dalam beribadat.

Islam sebagai ‘ways of life’ telah mengariskan banyak kaedah-kaedah yang boleh digunakan untuk mendapatkan sahsiah yang unggul. Antaranya adalah melalui usaha individu dan usaha masyarakat. Islam juga secara fokusnya lagi telah membahagikan disiplin ajaran Islam itu kepada tiga cabang yang besar iaitu Tauhid, Ibadah dan Akhlak. Bahagian Tauhid memberikan pengetahuan dan penghayatan seseorang berkaitan dengan Rukun Iman. Sebagai contoh Rukun Iman yang pertama adalah percaya kepada Allah SWT. Apabila individu yakin bahawa Allah SWT melihat apa yang dikerjakan oleh kita, maka kita akan berhati-hati supaya tidak melanggar perintah dan larangan Allah SWT.

Seterusnya adalah bahagian Ibadah yang mana tediri daripada ibadah itu sendiri, muamalat, jinayat, munakahat dan khilafat. Bahagian ini adalah melibatkan perkara-perkara yang berlaku dalam kitaran hidup seseorang. Panduan yang jelas diberikan termaktub dalam Al-Quran dan Al-Hadith yang menyeru manusia supaya melaksanakan sesuatu mengikut syariat yang telah digariskan oleh Allah SWT. Sebagai contoh dalam muamalat, seseorang individu muslim wajib mempelajari selok belok kerjayanya samada dalam bidang jual beli (muamalat) ataupun bidang lain seumpamanya. Ini penting kepada individu supaya dalam kerjayanya dia tidak melakukan perkara-perkara yang boleh mendatang murka Allah SWT seperti memakan riba, rasuah, menipu dan sebagainya.

Dalam konteks alam perkahwinan pula, kursus-kursus perkahwinan diberikan kepada pasangan-pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga dengan tujuan memberikan pendedahan kepada bakal suami dan bakal isteri supaya dapat melaksanakan tangungjawab dengan sebaik mungkin. Namun begitu, menghadiri kursus tersebut tidak memadai kerana perkara-perkara yang perlu dikaji dan didalami terlalu banyak terutama dalam bab nikah kawin ataupun Munakahat. Jika mereka berjaya mendalami ilmu munakahat ini dengan sebaiknya, maka mereka lebih jelas dan berkayakinan dalam melaksanakan tangungjawab dalam rumah tangga.

Bidang seterusnya dalam ajaran Islam yang dapat disebutkan disini adalah tentang akhlak. Seseorang yang mempunyai akhlak yang baik dan sempurna adalah seorang muslim yang sejati. Seseorang muslim yang bertanggungjawab akan berusaha supaya memperoleh akhlak yang terpuji dan megelakkan akhlak yang tercela. Seseorang jiran juga mempunyai peranan dalam sola akhlak ini terhadap jiranya yang lain. Sebagai contoh, jika ada jiran-jiran yang melakukan gejara-gejara yang tidak baik seperti bersekedudukan, mengambil dadah dan sebagainya perlulah dinasihati supaya meninggalkan amalan tersebut. Mereka perlu bekerjasama dan berbincangmencari jalan penyelesaian. Hubungan yang erat antara jiran akan mendatangkan banyak manfaat apatah lagi jika sampai kita menganggap tanggungjawab mendidik anak jiran adalah seperti mendidik anak sendiri.


Dalam konteks pemerintahan pula, seseorang kadi yang dilantik mempunyai peranan untuk memberi nasihat serta tunjuk ajar yang berkaitan kemulian akhlak. Seseorang kadi lazimnya menjadi tempat rujukkan ramai pihak terutamanya bab perkahwinan, penceraian dan kekeluargaan. Suami isteri yang mempunyai masalah boleh terus berhubung dengan kadi dan meminta nasihatnya. Dengan itu, kadi boleh memainkan peranannya yang penting dalam menyelesaikan kekusutan yang berlaku dalam masyarakat.

Oleh itu jelas bagi kita bahawa soal sahsiah tidak boleh dianggap picisan oleh semua individu yang bersyiarkan Islam. tanggungjawab sebagai muslim akan menjadi indah jika tanggungjawab itu dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Rasulullah SAW hadir dalam umatnya tidak lain dan tidak bukan adalah membaiki akhlak dan seluruh umat Islam perlu mengambil positif perkara ini. Janglah menganggap enteng soal sahsiah kerana balasan yang buruk pasti menimpa kepada orang yang menzalimi dirinya sendiri.

p/s: buat sedikit skema jawapan untuk sahabat-sahabat JPDK modul Pengurusan subjek Persenolia..semoga dapat membantu..;)

Wednesday 4 January 2012

Terlalu Sedikit Da’ie Yang Benar-Benar Berasal Dari Labuan


Macam biasalah, aku seorang yang angkat tangan, takde orang lain dah..apa tak nyer, aku seorang saja orang Labuan. Ada gak perasaan dalam hati tak nak angkat, buatnya semua tengok aku, seganlah..tapi tak angkat tak jujur pulak..layan jerla labu.. Begitulah setiap kali yang berlaku kalau ada yang bertanya negeri asal nie..apa kurang sangat ker orang bijak pandai kat Labuan nie?

Orang kat Labuan nie tak ramai, pusing-pusingpun orang sama jer.. kalau tengok Bancian Penduduk Dan Perumahan Malaysia (Bancian 2010), Labuan mencatatkan bilangan penduduk kedua terendah selepas Putrajaya iaitu sebanyak 86908 penduduk, lebih sikit jer dari Putrajaya.. Dahla sedikit, penurunan kadar pertumbuhan penduduk dalam tempoh tahun ke tahun berlaku pulak tue..apa terbantut ke orang Labuan nie..hehe

Menjawablah aku persoalan demi persoalan yang berkaitan Labuan nie..kemana pergi orang-orang Labuan nie..apa sebab kadar pertumbuhan penduduk merosot.. Sebenarnya Labuan bagiku adalah sebuah tempat pelancongan yang tak berapa nak menjadi, tak tahu mana silapnya, salah pegawai penerangan pelancongan kot yang tak kreatif.. atau pantai Labuan yang tak secantik dulu.. Ok jer, teringat dulu balik sekolah jer mesti terjun pantai ngan kawan-kawan, sampai harinie budaya tue..huhu

Labuan sebuah pulau yang berstatus negeri, kereta import murah-murah jer kat Labuan tue, setakat kereta tempatan nie orang tak pandangpun..budak sekolahpun guna Honda City, Vious, Mutsibushi dan kereta-kereta import yang lain. Bukan apa, sebab murah nak wat macam mana..beza dengan kereta luar dari Labuan sampai 50K beza!! Baik beli kereta importkan?? Tapi budak-budak nie guna kereta bapak dorglaa..huhu..

Labuan adalah International Offshore Center, yang mana perairannya bertaraf antarabangsa, adanya LOFSA, Asian Supply Base dan boleh kata mejoriti orang Labuan nie sedikit sebanyak mesti ada kaitan dengan bidang Industri Oil and Gas. Macam biasalah jika kerja berkaitan minyak nie, lagi-lagi kerja turun laut ‘offshore’ memang gaji beriban-riban..kalah orang gaji Master, phD..tue bagi yang duduk dalam bidang industri berkenaan..


Sebenarnya bukan semuapun yang boleh duduk di industri tersebut, ramai jer yang jauh lari dari bidang berkenaan seperti pengurusan, ekonomi dan sebagainya. Tapi bidang yang paling sedikit sekali adalah Pengajian Islam!! Kurang pendedahan agama kat Labuan sampai takde satupun sekolah menengah agama yang dibangunkan, yang ada sekolah rendah agama saja..mungkin dari satu sudut logik juga sebab penduduknya yang tak ramai dan kesedaran ibu bapa kurang jika anak-anak mereka menceburi bidang agama..masa depan tak cerah katanya…biasala kat telinga aku dengar komen-komen gtue..

Aku sendiripun yang dapat melanjutkan pengajian di bidang agama niepun disebabkan oleh aku korbankan diri dengan menarik diri dari memasuki matrikulasi dan berhijrah ke sebuah IPTS yang sudi menerima aku untuk melanjutkan pengajian diperingkat diploma sungguhpun tidak ada penguasaan agama yang baik diperingkat menengah. Ramai yang berkata tindakan aku adalah sia-sia sebab bukan senang nak masuk matrik tapi aku bleh sia-siakan begitu saja.

Bagi aku, semua nie adalah hasutan syaitan agar jangan ada Da’ie atau penyambung lidah Nabi SAW di Labuan dalam erti kata lain membiarkan Labuan hanyut dalam kesenangan dunia. Aku mula tersedar bilamana datukku membangkitkan isu kenapalah takde da’ie yang betul-betul anak jati Labuan di Labuan, yang ada orang luar..malu dan ini bukan satu yang positif..lantas aku mengambil cabaran ini dan berazam ingin mengubah sedikit sebanyak bi’ah di Labuan satu hari nanti.


Aku tidak boleh mengikut rentak sahabat-sahabat yang mana negeri mereka telah penuh dengan da’ie..tapi aku kene ada mekanisme aku sendiri kerana hanya aku yang faham dengan masyarakat di kawasan aku..walaupun terpaksa berseorangan insyaAllah iltizam untuk menyuburkan dakwah dibumi Labuan akan terusku perjuangankan..aku orang Labuan, dan aku bertanggungjawab atas negeriku.. kepada sahabat-sahabat yang berasal dari negeri yang lain seperti Kelantan, Kedah, Terengganu dan sebagainya beruntunglah dan teguhlah bersama Islam walaupun modus operandi kita berbeza..

p/s: Labuan pasti menjadi sebuah negeri Islam seperti Kelantan..kawin orang Kelantanlah….huhu

Sambutan Tahun Baru 2012 ‘First Class’!


Berakhir sudah tahun 2011 yang mana dalam tahun ini banyak kenangan-kenangan suka duka, pahit manis dan mehnah tribulasi yang berlaku dalam kehidupan setiap daripada kita. Kejayaan kita sehingga dapat hidup hingga ke hari ini bukanlah bergantung kepada multivitamin atau minerals supplement yang di ambil setiap hari, atau senaman yang berterusan setiap masa, tetapi kejayaan sebenar sehingga dapat hidup ke hari ini adalah berpunca dari keizinan Allah SWT. Tanpa keizinan Allah SWT mana mungkin kita akan merasa nikmat hidup di dunia sehingga hari ini.

Kini melangkah ke tahun 2012. Tahun yang penuh dengan ketakutan oleh sebilangan masyarakat dunia terutama golongan yang percaya dengan teori kaum Mayan yang mengatakan akan berlaku ‘ends of world’ pada Disember ini. Namun benarkah teori itu benar atau sebuah bentuk konspirasi, bukan tajuk perbincangan dalam artikel saya ini. Tapi apa yang saya ingin bawakan ialah sambutan tahun baru yang cukup bermakna sepanjang 23 tahun kehidupan saya di dunia ini.


Tahun ini saya menyambut tahun baru dengan seorang sahabat karib, sahabat daripada kecil, sahabat yang tidak ada tolok bandingnya di dunia ini yang sama-sama di alam pendidikan, bersusah bersenang dan kini beliau seorang engineer berjaya. Kebetulan beliau berada di Shah Alam untuk beberapa minggu dan saya mengambil kesempatan ini untuk berjumpa dengannya. Alhamdulillah waktunya kena dengan tahun baru dan kami bersama-sama meraikannya di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Apa yang mengejutkan kami ialah dengan sambutan tahun baru yang tidak pernah kami rasai dengan sebuah bentuk sambutan yang penuh dengan ‘saqofah adyan’. Mengapa saya berkata begitu kerana saya tidak melihat seorangpun wanita yang beragama Islam yang tidak bertudung ada di dalam kawasan dataran itu dan adapun yang kelihatan cuba untuk masuk kedalam kawasan itu dalam keadaan yang agak menjolok mata tapi keluar serta merta. Bukan dihalau atau bukan ditegur, tapi mungkin sebab perasaan malu melanda dirinya.

Sambutan kali ini diserikan dengan orang-orang yang hebat daripada industri muzik tanah air seperti Akhil Hayy, Sham Kamikaze dan Shahir. Dan insan fenomena kini dan selamanya Ustaz Azhar Idrus yang digandingkan dengan Zizan Raja Lawak. Saya tidak menyangka Zizan hadir dalam majlis Ilmu begini apatah lagi bersama-sama dengan Ustaz Azhar Idrus dalam mana namanya masih disebut-sebut seperti apa yang berlaku di dalam filem ‘Hantu Bonceng’. Namun keberanian dan iltizam beliau untuk hadir itu memberikan satu respect yang tinggi masyarakat kepada beliau dengan harapan beliau mampu mengislahkan diri kearah yang lebih baik. InsyaAllah.


Lima minit sebelum detik 12 malam, seramai 80 ribu orang yangberada di Shah Alam tersebut diminta oleh pengerusi majlis untuk duduk bermuhasabah diri dan mengingat kembali epilog-epilog yang berlaku dalam 2011. Kemudian setelah detik 12 malam, alunan Asma’ Ul-Husna dinyanyikan beramai-ramai oleh seluruh yang hadir dan setelah itu bacaan doa oleh Ustaz Azhar Idrus dan kemudian laungan takbir sebanyak tiga kali. Begitu mudah sambutan ini. Tanpa ada nyanyian laro, tanpa ada bunga api dan sebagainya, digantikan dengan satu bentuk sambutan yang lebih bagus di sisi Allah SWT. Inilah sambutan ‘first class’. Semoga Allah SWT memberikan hidayah kepada seluruh alam. Amin.

p/s: menyambut tahun baru juga bersama Ust Faisal dan keluarga di Shah Alam..hehe